IKLAN BERBAYAR

Wednesday, September 30, 2009

BAGAN PINANG - PEMANGKIN GELOMBANG PAKATAN RAKYAT SELATAN SEMENANJUNG

BAGAN PINANG, 30 Sept:Pakatan Rakyat mahu menjadikan N31 sebagai pemangkin perubahan rakyat mewakili Selatan Semenanjung, sebagaimana yang telahpun ditunjukkan rakyat Pantai Barat Semenanjung dalam Thunami Politik 8 Mac lalu.

Zulkefly Mohamad Omar semalam menganggap pencalonannya bukan sekadar mewakili PAS, sebaliknya mewakili kehendak perubahan rakyat Negeri Sembilan, khususnya penduduk tempatan, di sini sendiri.

"Kita mewakili Pakatan Rakyat untuk buat perubahan. Kita masuk (sertai pilihan raya) kerana bersama kehendak rakyat,"katanya.

Mengakui pencabarnya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad lebih dikenali ahli-ahli Umno tempatan, Zulkefly mengaku beliau juga sebenarnya anak jati Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkeyakinan pengundi N31 bijak membuat perhitungan dengan memilih calon yang bersih dan amanah.

Nada yang sama turut dikongsi Presiden PAS Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang sendiri.

ImageHadi berkeyakinan rakyat akan terus menyokong calon terbaik PAS, sebagaimana yang dapat dilihat dalam tujuh siri pilihan raya kecil sebelum ini.

�Kita sudah melihat perubahan (dalam) tujuh (pilihan raya kecil) sebelum ini. Insya-Allah, kita yakin rakyat berkehendak perubahan di Bagan Pinang juga.� ujar Hadi.

Hadi turut berkeyakinan perubahan yang diramalkan berlaku di Bagan Pinang akan merebak ke negeri adat perpatih itu.

Turut menyertai sidang media di Markas Utama DAP di Batu 9, di sini; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PKR Dr. Syed Husin Ali; Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa; Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas; dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta pemimpin-pemimpin Pakatan yang lain.

Penampilan sulung Zulkefly bersama muafakat pemimpin-pemimpin utama PAS, DAP dan PKR semalam dipercayai khalayak, mampu mengukuhkan sokongan rakyat pada cita-cita perubahan bersama Pakatan seperti sebelum ini. - mks. _

Friday, September 18, 2009

"What the Cabinet hid from the Malaysian public" - (Malaysian Today)-Najib should resign!!!


KUALA LUMPUR, 17 Sept: Perdana Menteri, timbalannya dan semua menteri yang terlibat mesti meletakkan jawatan jika dokumen kerajaan yang didedahkan oleh Malaysia Today (MT) hari ini dalam artikelnya yang bertajuk "What the Cabinet hid from the Malaysian public" adalah tulen, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Dokumen yang didedahkan itu menunjukkan apa yang didakwa sebagai memorandum dari Menteri Kewangan supaya memberikan kelulusan secara retrospektif berhubung dengan peningkatan kos projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) dari RM1.088 bilion kepada RM4,632,732,000.00.

"(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) perlu membuktikan tanpa sebarang keraguan yang munasabah kepada rakyat bahawa dokumen itu adalah dokumen palsu.

"Jika beliau gagal berbuat demikian dan dokumen tersebut memang benar dokumen kerajaan yang tulen, beliau dan semua anggota kabinetnya kini yang terlibat dalam memberikan kelulusan retrospektif itu mesti meletakkan jawatan serta merta," tegas Mahfuz.

Jika dokumen itu adalah dokumen kerajaan yang tulen, beliau mempersoalkan bagaimana Najib dan anggota kabinet pada masa itu boleh mempersetujui kelulusan retrospektif itu sedangkan banyak peraturan kewangan telah dilanggar termasuk dalam apa yang didakwa sebagai tindakan Menteri Pengangkutan memberikan surat jaminan kepada beberapa penerbitan bon yang boleh dianggap tidak sah.

Mengikut peraturan, surat jaminan sedemikian perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu dan surat tersebut hanya boleh dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sahaja.

Mahfuz juga menuntut kerajaan menjelaskan adakah benar keseluruhan projek PKFZ dilaksanakan hanya dengan kelulusan dasar Perdana Menteri sahaja tanpa mematuhi prosedur yang sepatutnya?

Beliau juga mempersoalkan, mengapa kelulusan retrospektif yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan itu diluluskan jika benar projek tersebut setelah dilaksanakan didapati tidak berdaya maju dan kos projek telah meningkat kepada lebih RM4.6 bilion.

"Jika dokumen yang didedahkan oleh MT itu adalah dokumen tulen kerajaan, rakyat kini boleh melihat dengan jelas mengapa Najib dan kabinetnya menubuhkan pasukan petugas khas serta-merta bagi menyediakan laporan berkaitan isu PKFZ.

"Saya telah nyatakan sebelum ini bahawa penubuhan pasukan itu sebenarnya bermotif politik iaitu untuk melindungi pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional dari disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam skandal PKFZ," kata beliau.

"Dan, sebab itulah juga Najib dan kerajaan pimpinannya begitu takut untuk menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ itu.

"Jika disiasat dan jika terdedah lebih banyak lagi dokumen dan hakikat yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat, ia mungkin membuktikan lagi jenayah peringkat tertinggi dalam skandal PKFZ itu," katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena sekali lagi menuntut sidang khas parlimen diadakan bagi membentangkan kertas putih menjelaskan keenganan kerajaan menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ.

"Jika kerajaan enggan mengadakan sidang parlimen khas itu, kita yakin sidang parlimen yang dijangka bermula 19 Oktober ini hingga 15 Disember akan 'dibanjirkan' dengan isu PKFZ hinggalah Perdana Menteri, timbalannya dan semua menteri dalam kabinetnya kini yang terlibat memberikan kelulusan retrospektif kepada peningkatan kos projek PKFZ itu meletakkan jawatan," kata beliau.

Beliau juga mengulangi kenyataannya bahawa satu pasukan peguam PAS ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan undang-undang untuk memastikan kerajaan menubuhkan suruhan jaya di raja bagi menyiasat skandal tersebut.

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbulnya pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada lebih RM4.6 bilion.

Siasatan awal keatas projek PKFZ mendapati ia terpaksa diselamatkan dengan pinjaman dari kerajaan.

Selain itu juga, siasatan juga mengesahkan kerajaan melalui Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membeli 404 hektar tanah dari KDSB pada RM25 setiap kaki persegi walaupun harga sebenar dianggarkan RM10 sahaja setiap kaki persegi. KDSB juga dilantik sebagai pemaju PKFZ.

KDSB pula membeli tanah tersebut dari Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Bhd (KPPLB) pada harga RM1.9 hingga RM2.9 sekaki persegi. Pengerusi koperasi tersebut ketika transaksi itu ialah Adun Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil.

Beliau juga adalah ahli lembaga pengarah LPK dari 1997 sehingga 2003

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan._mna_

Friday, September 11, 2009

AQIDAH UMNO CIPTAAN NAJIB

KOTA BHARU, 10 Sept: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemimpin Umno supaya memperbetulkan pengertian sebenar aqidah di sisi Islam. Ini kerana tiada aqidah lain kecuali Islam sahaja.

Menurutnya, kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang mengingatkan PAS jangan sekali-kali mempersoalkan aqidah Umno seolah-olah menggambarkan pemimpin Umno menganuti aqidah lain.

Kata beliau 'aqidah Umno' yang cuba dibawa pemimpin tertinggi parti itu sebenarnya fahaman yang salah kerana manusia tidak boleh mencipta aqidah sendiri.

"Manusia tak boleh membuat aqidah sendiri, begitu juga PAS tidak boleh memperkenalkan aqidahnya sendiri kecuali berpegang pada aqidah atau ajaran Islam sebenar," katanya di pejabatnya hari ini.

Baru-baru ini Perdana Menteri ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Kuala Krai meminta PAS jangan menuduh Umno Islam pada luaran sahaja. Beliau juga mengingatkan PAS jangan sekali-kali mempersoalkan aqidah orang Umno. Ini, kata Najib, boleh timbulkan kekalutan dan kekeliruan dalam masyarakat.

Nik Abdul Aziz berkata, apabila Umno membuat aqidah sendiri, ia jelas menggambarkan aqidah baru ciptaan parti itu.

"Kalau pun kita ada dasar parti, dasar parti itu mesti diselaraskan dengan Islam dan bukannya membuat aqidah sendiri," ujarnya.

Kata beliau apabila dasar parti mengikut acuan Islam sudah tentu ia tidak memberikan masalah kepada sesiapa juga.

Katanya, kerana itu beliau sering mengingatkan pemimpin Umno supaya mengubah dasar parti dari kebangsaan kepada Islam kerana ia selaras dengan aqidah sebenar.

"Kerana itu tiap-tiap orang mukmin akitivitinya kerana Allah, jadi saya hairan bila Umno menyebut istilah 'aqidah Umno'," ujarnya.

Kata Nik Aziz juga, apabila manusia menolak hukum Allah, tarafnya seumpama setinggan di bumi ini. _

Thursday, September 10, 2009

SURUHANJAYA DI RAJA KE ?? SARKAS DI RAJA??

Apabila ditanya wartawan adakah beliau didesak untuk mengadakan Suruhanjaya Diraja (SR) bagi menyiasat punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, Dato' Seri Mohd Najib Razak menafikannya.

Beliau menjawab persetujuan menubuhkan Suruhanjaya Diraja itu adalah "kerana ingin mencari kebenaran".

Betulkah Najib berminat ingin mencari kebenaran? Apabila beliau dan kabinet bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja nampak pada zahirnya beliau seolah-oleh serius ingin mencari kebenaran. Namun apabila skop Suruhanjaya Diraja itu hanya dihadkan untuk menyiasat teknik penyiasatan yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jelaslah Najib bukan berminat mencari kebenaran. Apa yang jelas Najib ingin 'mengkebumikan kebenaran'!

Najib melalui Abdul Ghani Patail (Peguam Negara) terdesak mencari dalil dan alasan bagi menjustifikasikan tindakan beliau yang mengehadkan terma rujukan Suruhanjaya Diraja hanya kepada menyiasat cara atau kaedah penyiasatan yang digunakan oleh SPRM.

Najib menyatakan bahawa beliau terikat dengan undang-undang. Beliau telah dinasihati oleh Ghani Patail bahawa sebab kematian Teoh Beng Hock perlu ditentukan oleh satu inkues di bawah seksyen 339(1) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ). Di bawah seksyen 339(1) KPJ, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mengarahkan Majistret untuk mengadakan siasatan di atas kematian seseorang.

Ghani berhujah bahawa KPJ adalah undang-undang khusus yang mempunyai peruntukan mengenai satu siasatan bagi kes-kes kematian. Oleh itu, hujah Ghani inkues adalah mandatori bagi menentukan sebab-sebab kematian Teoh Beng Hock dan bukannya Suruhanjaya Diraja yang menjalankan tugas atau peranan tersebut. Ghani menambah jika Suruhanjaya Diraja juga menjalankan tugas menyiasat sebab kematian mendiang Teoh maka ia akan menjalankan tugas yang bertindih dengan tugas Mahkamah.

Ghani juga berhujah bahawa orang awam tidak patut keliru peranan Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan oleh Kerajaan dengan inkues yang diwujudkan di bawah KPJ. Beliau berhujah bahawa Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Commissions of Enquiry Act 1950) secara jelas merujuk kepada penyiasatan berkenaan tindakan dan pengurusan kakitangan awam (lihat Seksyen 2(1)(a)) dan Jabatan Kerajaan (2(1)(b)).

Oleh itu Ghani menambah peranan Suruhanjaya Diraja tidak boleh diluaskan bagi menyiasat kes kematian kes Teoh Beng Hock kerana siasatan oleh pihak Majistret adalah lebih betul dan disokong oleh undang-undang.

Ghani berkata adalah tepat peranan Suruhanjaya Diraja hanya dihadkan kepada menyiasat teknik penyiasatan yang digunapakai oleh SPRM.

Komen saya terhadap kenyataan Ghani di atas: "Wahai Peguam Negara, janganlah membohongi rakyat!"

Pertamanya mari kita lihat hujah beliau bahawa inkues adalah mandatori (wajib) bagi menyiasat kes-kes kematian seperti kes Teoh Beng Hock.

Jika kita menerima hujah tersebut, kita berhak bertanya mengapakah sehingga kini beliau sebagai Peguam Negara tidak melaksanakan tugas dan peranannya di bawah Seksyen 339(1) KPJ bagi mengarahkan satu inkues diadakan bagi menyiasat kes A. Kugan yang mati di dalam tahanan polis iaitu di Balai Polis Taipan, Subang Jaya pada 20 Disember 2008.

Mengapakah tiada inkues dibuat di dalam kes Memali?

Kes A. Kugan menimbulkan dua pertanyaaan yang sehingga kini masih gagal dijawab oleh Kerajaan.

Pertamanya sebab�sebab kematian beliau di dalam tahanan polis. Kenapakah, mengguna pakai hujah Ghani, inkues tidak dibuat bagi menyiasat hal tersebut.

Keduanya kes A. Kugan juga menimbulkan isu teknik penyiasatan pihak polis. Mengapakah Ghani sebagai Penasihat Undang-undang Kerajaan tidak menasihati ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat teknik penyiasatan yang diguna pakai oleh pihak polis?

Ghani berhujah bahawa Suruhanjaya Diraja tidak boleh ditugaskan untuk menyiasat sebab-sebab kematian Teoh kerana ia di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950. Penyiasatan Suruhanjaya Diraja hanya dihadkan berkenaan tindakan dan pengurusan kakitangan awam dan jabatan Kerajaan sahaja.

Di sini jelas Ghani berbohong dan sengaja tidak membaca seksyen 2 secara keseluruhan. Atas sebab yang hanya Ghani tahu, beliau hanya membaca Seksyen 2(1)(a) dan (b) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan dengan sengaja meninggalkan seksyen 2(1)(d) Akta yang sama.

Seksyen 2(1)(a) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat tindakan pegawai-pegawai Persekutuan dan Seksyen 2(1)(b) pula bagi menyiasat tindakan dan pengurusan jabatan Kerajaan yang menjalankan tugas-tugas awam.

Apakah pula yang dikatakan oleh Seksyen 2(1)(d) Akta tersebut?

Seksyen tersebut menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara-perkara lain (any other matter) yang menurut perkiraan baginda perkara-perkara itu untuk kemaslahatan awam (public welfare).

Jelas Seksyen 2(1)(d) memberi suatu kuasa yang amat luas kepada Suruhanjaya Diraja yang mana kuasa tersebut adalah merangkumi tujuan kemaslahatan awam menyiasat sebab-sebab kematian Teoh Beng Hock.

Di negara-negara Komanwel (bekas jajahan Britain) lain seperti Australia yang turut menjadi rujukan khalayak perundangan Malaysia, adalah menjadi perkara biasa siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat sebab-sebab kematian seseorang khususnya kematian misteri.

Mengenai hujah Ghani jika Suruhanjaya Diraja diberikan tugas menyiasat kematian Teoh akan berlaku pertindihan tugas, jawapan pada hujah mengarut itu boleh dijelaskan sebegini: Jika Ghani atau Najib tidak mahu pertindihan tugas cukuplah diberi kuasa kepada Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kedua-dua perkara iaitu teknik siasatan SPRM dan sebab-sebab kematian Teoh. Tidak perlu inkues kerana ia akan bertindih tugas dengan Suruhanjaya Diraja dan membazirkan wang rakyat!

Mengapa rakyat mahukan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian Teoh? Jawapannya kuasa Suruhanjaya Diraja adalah lebih luas dari kuasa seorang Majistret di dalam siasatan inkues.

Suruhanjaya Diraja sebagai contoh boleh memanggil mana-mana orang dan juga boleh menerima apa-apa keterangan termasuk keterangan yang sekiranya dikemukakan di Mahkamah akan ditolak (lihat seksyen 8(f) Akta tersebut).

Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan sekadar menyiasat teknik penyiasatan SPRM adalah Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan untuk tujuan hiburan semata-mata.

Adakah Najib inginkan Suruhanjaya Diraja atau 'Sarkas Diraja'? Kalau 'Sarkas Diraja' Najib dan Ghani layak menjadi badutnya.-

PRK BAGAN PINANG - Keranda Untuk UMNO & BN

DALAM tempohari 60 hari selepas satu-satu kawasan itu diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN atau Speaker Dewan Rakyat, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengadakan mesyuarat untuk mencari satu tarikh bagi diadakan pilihan raya semula, dengan tujuan mencari pengganti wakil rakyat.

Kali ini, berlaku lagi satu kekosongan akibat kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Allahyarham Azman Mohamad Noor 4 September 2009 lalu yang menyebabkan satu lagi pilihan raya kecil bakal diadakan dalam masa terdekat.

Bagi Barisan Nasional (BN), tentunya dalam keghairahan mereka ingin mempertahankan kerusi ini kerana ia dimenangi Allahyarham Azman yang mewakili BN dalam PRU 12, Mac 2008 yang lalu, kerisauan tetap ada.

Apa tidaknya, kewibawaan Pengarah Pilihanraya BN yang secara tradisinya disandang Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden Umno belum sekali pun terbukti. Sejak menang kerusi Timbalan Presiden Umno dan secara otomatik dilantik menjadi Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hanya membawa �pulang� keputusan kalah untuk dipersembahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Bermula di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, Muhyiddin yang ketika itu masih belum dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, dilihat tidak bermaya menerima kekalahan kedua-dua kawasan itu walaupun, dalam masa yang sama, BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Batang Ai di Sarawak.

Kemudiannya, apabila berlaku pilihan raya kecil di DUN Manek Urai, Muhyiddin yang tidak menyangka BN boleh kalah tipis membawa janji manis kepada penyokong Umno bahawa 'rakyat' sudah kembali menyokong BN dalam pilihan raya kecil seperti mana yang ditunjukkan di DUN Manek Urai.

ImageMalangnya, tidak lama Muhyiddin dan beberapa rakan-rakannya termasuk Datuk Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan dan Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno 'meraikan' kekalahan tipis itu apabila keputusan pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir memberi pukulan maut kepada BN apabila calonnya bukan sahaja kalah, malahan gagal mendapat undi seperti yang pernah calon BN terdahulu mendapatnya.

Bersediakah Muhyiddin menawarkan untuk menarik diri dari menjadi pengarah pilihan raya BN kali ini? Ini kerana kehadiran Muhyiddin jelas tidak memberi apa-apa kelebihan kepada BN di setiap pilihan raya kecil. Khabarnya tingkah laku pegawai-pegawai Muhyiddin termasuk Setiausaha Politiknya juga dikatakan 'lebih sudu dari kuah' .

Kali ini, di Bagan Pinang, khabarnya ada usaha beberapa pihak merayu jasa baik Najib supaya memberikan peluang kepada Muhyiddin supaya 'menjauhkan diri' dari Bagan Pinang bagi mengelakkan BN sekali lagi kecundang seperti apa yang sudah berlaku di tujuh kawasan lain sebelum ini.

Barangkali, Muhyiddin juga sudah dibisikkan perkara ini, supaya tidak keterlaluan berada di kawasan itu kerana selama ini, beliau sendiri tidak gemar berada di bawah untuk berhubung dengan 'grassroot' tetapi apabila ada pilihan raya, beliau dilihat seperti seorang calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil.

Contoh terbaru di DUN Permatang Pasir, jelas pengundi tidak dapat menerima Muhyiddin yang memulakan dakwaan mengatakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu.

JAGA PEJABAT

Ramai yang mengharapkan Muhyiddin supaya lebih kerap berada di pejabatnya kerana sudah kedengaran keluh kesah penyokong-penyokong yang memenangkannya ketika bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno dahulu, yang tidak dapat bertemu dengannya.

Muhyiddin didakwa terlalu kerap berada di luar pejabat dan lebih mudah untuk bertemu Perdana Menteri dari mencari peluang bertemu timbalan, kata seorang penyokongnya yang kecewa setelah lebih empat bulan cuba membuat temujanji tetapi gagal bertemu dengannya.

Sehubungan dengan itu, banyak pihak menjangkakan jika penglibatan Muhyiddin dan Setiausaha Politiknya terlalu ketara di Bagan Pinang, BN bakal menghadapi masalah besar untuk menarik pengundi untuk terus memberi sokongan kepada calon BN.

ImageSelain faktor Muhyiddin, beberapa pihak juga cuba menutup cerita 'ketengangan' yang berlaku antara bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan. Walaupun 'ketengangan' itu tidak begitu ketara, tetapi ketika Mohd Isa dikenakan tindakan penggantungan dahulu, tiada langsung usaha dari Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan untuk membelanya.

Malahan, mereka dikatakan berusaha untuk 'menenggelamkan' Mohd Isa dari arena politik Negeri Sembilan walaupun akhirnya Mohd Isa kembali mengetuai Umno Bahagian Teluk Kemang selepas hampir empat tahun berada 'di luar padang'.

Mohd Isa yang pernah mewakili DUN Linggi selama enam penggal dan sepenggal menjadi Ahli Parlimen Jempol dikatakan bakal membuat 'come back' jika terpilih bertanding di DUN Bagan Pinang dan memenanginya.

Namun untuk menang, banyak perkara yang mahu 'jentera parti' ketepikan. Antaranya, tidak mahu campurtangan terlalu banyak dari pihak Kuala Lumpur dan kedua, jangan ada mereka yang bertindak 'lebih sudu dari kuah'.

Seorang Setiausaha Politik Muhyiddin yang juga merupakan Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dikatakan tidak pernah mahu bersama Pergerakan Pemuda dalam menyusun strategi berkempen ketika pilihan raya kecil.

Lagaknya seperti seorang menteri menyebabkan banyak pihak mula berasa mual dengan caranya tetapi tiada siapa berani menyampaikan teguran kepada Muhyiddin yang dikatakan jenis pemimpin yang terlalu sukar menerima teguran.

Ketika BN mengharapkan Bagan Pinang akan menjadi titik mula 'kehidupan semula' semangat BN untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, tetapi banyak pihak merasakan di Bagan Pinanglah akan menyaksikan BN menerima 'paku terakhir di keranda' kerana rakyat sudah semakin muak.

Kempen pembangunan dan janji menjadikan satu-satu kawasan itu sebagai 'anak angkat, anak emas dan anak suasa' sudah tidak mampu untuk menarik minat pengundi mengundi BN.

Tidak hairanlah Muhyiddin pernah meluahkan perasaan marahnya kepada pengundi di Permatang Pasir sebagai 'mereka tidak mahu menerima pembangunan yang BN tawarkan'. Hakikatnya, rakyat sudah muak dan rakyat memang mahu menolak BN.

Mungkin ketika pemimpin-pemimpin BN yakin rakyat akan terpengaruh dengan ucapan berdegar-degar pemimpin dengan publisiti yang diterima melalui tv dan media cetak, kisah sebenarnya pengundi itu sendiri tidak lagi membaca media massa yang pro kerajaan dan menonton tv.

Jika mereka membaca sekali pun, mereka tidak lagi mahu mempercayainya. Jika mereka menonton tv sekali pun, mereka tidak mahu mendengar ucapan pemimpin kerajaan dan jika mereka mendengar, mereka tidak mahu mempercayainya.

Rakyat nampak, dalam BN ada cerita pemimpin menerima wang RM10 juta, dalam BN rakyat tahu ada cerita komisen membeli kapal selam. Dalam BN rakyat nampak, ada cerita 'aduhai-aduhai' yang rakaman videonya tersebar meluas. Dalam BN, mereka dengar ada pemimpin yang berbalah hingga ada dua Presiden dalam satu parti kecil.

Itu belum lagi cerita samseng menguasai polis, belum lagi cerita ada skandal PPRT, ada kurma yang tidak diserahkan kepada rakyat, ada murid yang tidak dilayan ketika memohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan ada kementerian membeli 'skru driver' dengan harga yang terlalu mahal.

Bagan Pinang akan mendedahkan lebih banyak lagi penyelewengan. Bagan Pinang akan membuka lebih banyak cerita penyelewengan dan skandal. Bagan Pinang akan menjadikan lena pemimpin BN tidak akan aman kerana ada 'bayang-bayang' mengejar mereka. _

Wednesday, September 9, 2009

PRK Bagan Pinang - UMNO Negeri Sembilan bakal berpecah???

TELUK KEMANG, 7 Sept: Desas desus siapakah calon Umno-BN di kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang semakin panas.Jika sebelum ini ramai menjangka akan berlaku pertempuran dalaman dalam menentukan calon puak mana yang bertanding, tapi kini bayangan calon semakin jelas.

Difaham terdapat tiga kem utama di dalam Umno Negeri Sembilan iaitu kem Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohd Hasan, kem bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Ketua Bahagian Umno Seremban, Datuk Ishak Ismail yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan negeri(ADUN) Lenggeng. Walau bagaimanapun Mohd Isa dan Ishak masing-masing boleh duduk semeja untuk berbincang dan dianggap rakan politik.

Ishak dikatakan mempunyai hubungan yang akrab dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sementara itu Ahli Parlimen Rembau dan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin pula boleh dikatakan seorang "lone ranger" di dalam Umno Negeri Sembilan.

Seorang lagi tokoh tempatan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim juga merupakan seorang "lone ranger" yang tidak mempunyai sebarang "team" khusus di dalam Umno Negeri Sembilan.

Senario ini cukup menggambarkan bagaimana Umno Negeri Sembilan sebenarnya kini berada dalam keadaan yang retak menanti belah. Kesepakatan merupakan satu agenda yang agak jahil bagi Umno Negeri Sembilan.

Maka pada mulanya ramai yang menjangka akan berlaku perebutan dalam menentukan calon. Iaitu sama ada dari kem Mohd Isa yang merupakan Ketua Bahagian Umno Teluk Kemang atau pun calon dari kem Mohd Hasan, Pengerusi Perhubungan.

Namun kini maklumat terbaru yang diperolehi, Mohd Hasan telah menyerahkan tugas memilih calon kepada Mohd Isa. Desas desus daripada Umno bahawa terdapat dua calon popular untuk bertanding kerusi Bagan Pinang iaitu Mohd Isa sendiri atau pun anak lelaki beliau, Mohd Najib Mohd Isa.

Mungkin ramai yang beranggapan dengan kerelaan Mohd Hasan agar bakal calon ditentukan oleh Mohd Isa sebagai petanda positif yang baik di dalam Umno Negeri Sembilan.

Sedia maklum Mohd Hasan menghadapi tekanan hebat sejak Pilihanraya Umum ke-12. Bukan sahaja untuk kali pertama dalam sejarah politik Negeri Sembilan BN kecundang di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri, malah pada pemilihan Umno pada tahun ini, ramai orang beliau telah tumpas di peringkat bahagian walaupun ada diantara mereka merupakan ADUN.

Mengikut sumber Umno yang menghubungi Harakahdaily, walaupun pada awalnya Mohd Hasan dilihat menyerahkan kepada Mohd Isa untuk menentukan calon Bagan Pinang, namun situasi sebenarnya hanya akan dapat dilihat apabila tarikh penamaan calon semakin dekat.

"Ada kemungkinan Menteri Besar boleh menolak calon pilihan Mohd Isa atau Umno Teluk Kemang dan mencalonkan calon pilihannya.

"Jika calon Bagan Pinang itu adalah Mohd Isa, jika beliau menang, apakah bekas Menteri Besar hanya menjadi ADUN biasa?" ujar sumber Umno tersebut kepada Harakahdaily.

Sumber tersebut turut meramalkan andaikata Mohd Isa menang, ada kemungkinan Najib akan melantik Mohd Isa sebagai menteri besar, memandangkan Mohd Isa sememangnya dari kem Najib sejak dulu lagi.

Jika ini berlaku, pergolakan dalam Umno Negeri Sembilan pasti akan lebih parah, kerana sudah pasti pemimpin negeri di kem Mohd Hasan yang ramai juga terdiri daripada ADUN tidak akan puas hati dengan perubahan pucuk pimpinan peringkat negeri yang meminggirkan Mohd Hasan.

Maka dapatlah dirumuskan Pilihan raya Kecil Bagan Pinang akan mencetuskan pelbagai polemik dalaman di dalam Umno.

_______________________

KOMEN PEMBACA

_______________________

1. Bagus....PR akan menang lagi. - Teropong Jauh.

2. Harap PR teliti tentang calon jangan letak orang luar...sentimen orang tempatan agak kuat di sini. - Anak Nogori.

3. Umno akan terus kalah selamanya...Bagan Pinang bakal jadi landasan kemenangan PR dalam PRU-13. -Mael, Kuching.

(Harakahdaily kini akan menyiarkan respon pembaca terhadap semua berita yang tersiar. Sebarang respons untuk berita ini sila alamatkan ke: urespons@gmail.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya agar dapat disiarkan)_