IKLAN BERBAYAR

Wednesday, September 9, 2009

PRK Bagan Pinang - UMNO Negeri Sembilan bakal berpecah???

TELUK KEMANG, 7 Sept: Desas desus siapakah calon Umno-BN di kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang semakin panas.Jika sebelum ini ramai menjangka akan berlaku pertempuran dalaman dalam menentukan calon puak mana yang bertanding, tapi kini bayangan calon semakin jelas.

Difaham terdapat tiga kem utama di dalam Umno Negeri Sembilan iaitu kem Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohd Hasan, kem bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Ketua Bahagian Umno Seremban, Datuk Ishak Ismail yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan negeri(ADUN) Lenggeng. Walau bagaimanapun Mohd Isa dan Ishak masing-masing boleh duduk semeja untuk berbincang dan dianggap rakan politik.

Ishak dikatakan mempunyai hubungan yang akrab dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sementara itu Ahli Parlimen Rembau dan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin pula boleh dikatakan seorang "lone ranger" di dalam Umno Negeri Sembilan.

Seorang lagi tokoh tempatan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim juga merupakan seorang "lone ranger" yang tidak mempunyai sebarang "team" khusus di dalam Umno Negeri Sembilan.

Senario ini cukup menggambarkan bagaimana Umno Negeri Sembilan sebenarnya kini berada dalam keadaan yang retak menanti belah. Kesepakatan merupakan satu agenda yang agak jahil bagi Umno Negeri Sembilan.

Maka pada mulanya ramai yang menjangka akan berlaku perebutan dalam menentukan calon. Iaitu sama ada dari kem Mohd Isa yang merupakan Ketua Bahagian Umno Teluk Kemang atau pun calon dari kem Mohd Hasan, Pengerusi Perhubungan.

Namun kini maklumat terbaru yang diperolehi, Mohd Hasan telah menyerahkan tugas memilih calon kepada Mohd Isa. Desas desus daripada Umno bahawa terdapat dua calon popular untuk bertanding kerusi Bagan Pinang iaitu Mohd Isa sendiri atau pun anak lelaki beliau, Mohd Najib Mohd Isa.

Mungkin ramai yang beranggapan dengan kerelaan Mohd Hasan agar bakal calon ditentukan oleh Mohd Isa sebagai petanda positif yang baik di dalam Umno Negeri Sembilan.

Sedia maklum Mohd Hasan menghadapi tekanan hebat sejak Pilihanraya Umum ke-12. Bukan sahaja untuk kali pertama dalam sejarah politik Negeri Sembilan BN kecundang di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri, malah pada pemilihan Umno pada tahun ini, ramai orang beliau telah tumpas di peringkat bahagian walaupun ada diantara mereka merupakan ADUN.

Mengikut sumber Umno yang menghubungi Harakahdaily, walaupun pada awalnya Mohd Hasan dilihat menyerahkan kepada Mohd Isa untuk menentukan calon Bagan Pinang, namun situasi sebenarnya hanya akan dapat dilihat apabila tarikh penamaan calon semakin dekat.

"Ada kemungkinan Menteri Besar boleh menolak calon pilihan Mohd Isa atau Umno Teluk Kemang dan mencalonkan calon pilihannya.

"Jika calon Bagan Pinang itu adalah Mohd Isa, jika beliau menang, apakah bekas Menteri Besar hanya menjadi ADUN biasa?" ujar sumber Umno tersebut kepada Harakahdaily.

Sumber tersebut turut meramalkan andaikata Mohd Isa menang, ada kemungkinan Najib akan melantik Mohd Isa sebagai menteri besar, memandangkan Mohd Isa sememangnya dari kem Najib sejak dulu lagi.

Jika ini berlaku, pergolakan dalam Umno Negeri Sembilan pasti akan lebih parah, kerana sudah pasti pemimpin negeri di kem Mohd Hasan yang ramai juga terdiri daripada ADUN tidak akan puas hati dengan perubahan pucuk pimpinan peringkat negeri yang meminggirkan Mohd Hasan.

Maka dapatlah dirumuskan Pilihan raya Kecil Bagan Pinang akan mencetuskan pelbagai polemik dalaman di dalam Umno.

_______________________

KOMEN PEMBACA

_______________________

1. Bagus....PR akan menang lagi. - Teropong Jauh.

2. Harap PR teliti tentang calon jangan letak orang luar...sentimen orang tempatan agak kuat di sini. - Anak Nogori.

3. Umno akan terus kalah selamanya...Bagan Pinang bakal jadi landasan kemenangan PR dalam PRU-13. -Mael, Kuching.

(Harakahdaily kini akan menyiarkan respon pembaca terhadap semua berita yang tersiar. Sebarang respons untuk berita ini sila alamatkan ke: urespons@gmail.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya agar dapat disiarkan)_

No comments:

Post a Comment