Dalam dunia yang penuh pancaroba dan berkembang APCO Worldwide berdiri teguh sebagai gergasi dalam dunia industri pelobian. Firma ini, dalam katanya sendiri menawarkan “kepakaran luar biasa dan profesional” kepada kerajaan, ahli politik dan syarikat korporat, serta senantiasa bersedia membantu pelanggan untuk mengharungi cabaran getir dalam dunia yang rumit pada peringkat antarabangsa dan hal-hal dalam negeri.
Pelanggan khidmat APCO, bukan sahaja negara Malaysia. Dalam tulisan saya sebelum ini, saya telah menjelaskan hubungan firma perunding pengurusan risiko dan keselamatan dalam negeri ASERO Worldwide. ASERO seolah-olahnya merupakan rumah persaraan buat bekas-bekas pegawai perisikan Israel, bekas Mossad dan bekas Shabak.
Melihat rekod syarikat APCO, cukup menakjubkan melihat kelancangan syarikat dalam tindakan yang secara berterusan menentang keadilan sosial.
Mendandan diktator
Seperti yang kita tahu, APCO dan rakan strategiknya ASERO berkhidmat untuk Israel dan agenda Zionis. Di persada antarabangsa, APCO secara khususnya terkenal kerana membantu para diktator di seluruh dunia.
Ketua Menteri Gujarat, seorang nasionalis pelampau Hindu, Narendra Modi memakai khidmat APCO sebagai perunding imejnya pada Ogos 2007. Ahli politik BJP ini telah dikaitkan dengan rusuhan antara agama yang mengorbankan kira-kira seribu orang Islam. Pembunuhan beramai-ramai itu mula dicetuskan dengan kejadian pembakaran keretapi Godhra pada 27 Februari 2007, yang mana beberapa ratus penganut Hindu terbakar hidup-hidup.
Puak radikal pelampau BJP dan RSS menyalahkan penganut Islam berhubung kemalangan tersebut dan membalas dendam dengan memulakan rusuhan anti orang Islam. Kerajaan Gujarat yang dipimpin Modi kemudiannya membayar USD25,000 setiap bulan kepada APCO bagi membina semula imej antarabangsanya dan menarik pelaburan asing (FDI).
Selain dari Ketua Menteri Anti Orang Islam, si Modi, APCO juga terkenal dengan menjalankan kempen perhubungan awam untuk ahli-ahli politik yang begitu mengaibkan.
Pada pertengahan tahun 1990an, syarikat itu telah dikontrakkan oleh bekas Presiden seumur hidup Nigeria, Sani Abacha. APCO mewakili diktator itu di saat rejim tersebut menindas kebangkitan gerakan rakyat dan menghukum bunuh 9 orang aktivis pro demokrasi, termasuklah seniman pro alam sekitar Ken Saro-Wiwa.
Setelah runtuhnya blok komunis Eropah Timur, APCO menemui lubuk keuntungan di Rusia, negara-negara Eropah Timur dan Asia Tengah.
Ken Silverstein, editor majalah Harper Magazine (30 Jun, 2007) menyifatkan pelobi APCO sebagai, “penyelamat penting buat rejim-rejim kediktatoran mengembangkan kepentingan mereka di Washington”. Beliau mendedahkan kepakaran pengalaman APCO dalam bekerja untuk rejim-rejim kuku besi seperti Kazakhstan, Azerbaijan, Turkmenistan dan lain-lain lagi..
Silverstein menulis: “Dengan bayaran yuran khidmat sehingga USD 1.5 juta setahun, APCO menawarkan untuk meghantar delegasi Kongres Amerika Syarikat ke Turkmenistan serta menulis dan menanam pendapat di suratkhabar atas nama-nama ahli akademik dan pakar-pakar pemikir yang akan direkrut mereka. APCO juga menawarkan untuk menganjurkan acara untuk media “bebas’ di Washington yang akan mempromisikan Turkmenistan…”
Di China, APCO membantu syarikat-syarikat Israel untuk menjalankan perniagaan. Dalam salah satu risalahnya, APCO mengiklankan bahawa: “APCO akan membimbing dan memberi panduan kepada para peserta dengan proses mencari dan mengenal pasti rakan niaga berpotensi ataupun potensi peserta untuk menjadi pengedar, penggabung, agen, pembekal atau pesaing kepada China.”
Memukul gendang perang
Melakukan kerja-kerja perhubungan awam untuk rejim-rejim kuku besi mungkin merupakan sebahagian daripada sumbangan kegiatan kebajikan APCO. APCO juga memiliki sebatalion pelobi penyokong perang di bawah sayap syarikat ini. Firma ini juga merupakan pendokong kuat peluasan peranan ketenteraan dan persenjataan Amerika Syarikat (A.S) dalam urusan hal ehwal dunia
Pada Oktober 2004, APCO dan Kissinger Associates (dimiliki oleh bekas setiausaha negara A.S, Henry Kissinger) membentuk “persekongkolan strategik.” Mereka sama-sama mengumumkan “Genggaman kami terhadap dasar-dasar asas dan isu-isu peraturan di berbagai negara digabung dengan pengalaman luas hal ehwal awam oleh APCO akan menghasilkan pemikiran yang lengkap tentang ‘cabaran-cabaran’ para pelanggan kami.”
Selain Kissinger Associates, APCO turut membina jaringan atau persekongkolan dengan kumpulan konservatif pelobi pro Zionis dan kumpulan-kumpulan perundingnya termasuklah Heritage Foundation, Frontier of Freedom, Jewish Policy Center, dan lain-lain lagi.
Atas nama perang melawan keganasan, APCO membantu untuk menyelaraskan komunikasi kerajaan bagi meyakinkan orang ramai berhubung perlunya perang. Kerja APCO termasuklah mengolah pendapat awam dan maklum balas yang akan membantu usaha-usaha ke arah peperangan. Mudahnya mereka mengeksploitasi rasa ketakutan terhadap Islam dalam masyarakat Barat untuk menjual idea bahawa serangan penaklukan merupakan penyelesaian masalah bagi mendapatkan semula keamanan di negara-negara Barat.
Selain menyokong George Bush, APCO turut sama mempertahankan tindakan tidak popular Perdana Menteri Britain, Tony Blair untuk ikut sama terlibat dalam peperangan. Bersama-sama dengan Foreign Policy Institute, yang berpengkalan di London, APCO menyediakan dan menerbitkan risalah berjudul, ‘A Global Alliance for Global Values’ (Persengkongkolan sejagat untuk nilai sejagat) yang diisytiharkan sendiri oleh Blair.
“Penyelesaian yang kita sedang hadapi sekarang adalah perang, tetapi bukan perang biasa yang konvensional. Dan ianya tidak dapat dimenangi dengan cara-cara yang biasa. Kita tidak akan memenangi pertempuran melawan keganasan sejagat sehinggalah kita memenangi setiap peringkat nilai dan juga kekuatan tentera.”
“Untuk melakukan hal ini memerlukan perubahan mendadak terhadap keutamaan dasar kita. Kita mesti menyerahkan diri kita terhadap pembaharuan sepenuhnya dalam strategi kita untuk mengalahkan pihak-pihak yang mengancam kita.”
Setelah penakhlukan di Iraq, APCO secepatnya meletakkan diri mereka untuk membantu syarikat-syarikat Amerika memeras kekayaan dan sumber Iraq. Pada Mei 2003, APCO Worldwide melancarkan pasukan petugasnya yang diketuai oleh Marc Ginsberg, bekas duta Amerika Syarikat ke Maghribi bagi mendapatkan kontrak membangunkan semula Iraq.
Anti-reformasi di A.S
Kesemua kejahatan ini bermula di rumah mereka sendiri. APCO bukan malaikat di pengkalan asal mereka. Dilengkapi dengan penampilan berat condong ke politik konservatif, ia selalu siap untuk berkhidmat terhadap agenda politik puak sayap kanan yang menentang reformasi dan kepentingan orang ramai.
APCO Worldwide lahir daripada firma guaman Arnold & Porter, salah satu firma guaman yang terbesar di Washington D.C serta berhubungan langsung dengan industri tembakau.
Pendokong gerakan hak-hak pengguna menyifatkan APCO sebagai firma pelobi yang “pakar dalam membantu syarikat korporat untuk mengembangkan matlamat-matlamat mereka dengan memanipulasikan penggubal undang-undang serta merancang dan mengajukan model bentuk peraturan dan perundangan. Perkakas utamanya…termasuklah dengan mencipta persekongkolan perniagaan serta penubuhan kumpulan-kumpulan ‘akar umbi’ palsu yang bergerak atas isu-isu tertentu.
Pada tahun 1983, syarikat gergasi tembakau, Philip Morris membayar khidmat APCO untuk menyerang kempen kesedaran awam menentang tembakau. APCO menyusun NGO tipu yang dikenali dengan nama The Advancement of Sound Science Coalition (TASSC). Matlamat NGO ini adalah untuk melawan usaha-usaha kesihatan awam yang mendesak kepada perubahan perundangan serta menghalang sebarang cubaan untuk menghalang jualan tembakau.
Bukan sahaja APCO mahu orang ramai berfikir merokok itu baik untuk kesihatan, ia juga mewakili kepentingan yang menguntungkan daripada syarikat-syarikat farmasi dan industri penjagaan kesihatan. Tidaklah menghairankan apabila kita melihat APCO secara aktifnya menentang dan memperlekeh usaha Obama untuk mereformasikan sistem penjagaan kesihatan di A.S.
Salah seorang penggubal undang-undang yang disukai APCO ialah Senator Joe Lieberman, penyokong kuat bantuan ketenteraan ke Israel. Isteri Lieberman, Hadassah merupakan bekas pelobi utama APCO untuk para pelanggan dari sektor penjagaan kesihatan dan famasi.
Mewakili syarikat-syarikat gergasi menjual dadah (ubat-ubatan), Senator Lieberman menganjurkan gerakan anti reformasi sistem penjagaan kesihatan yang diharapkan para penyokongnya akan mengecewakan usaha Obama, dan mereka telah berjaya menunda pembentangan skema baru sistem penjagaan kesihatan.
Di luar A.S, APCO memimpin kempen undang-undang yang menentang pengedaran ubat-ubatan murah untuk sakit AIDS di Afrika Selatan.
Selain kesihatan, APCO juga terlibat sama dengan syarikat-syarikat besar multi nasional dalam sektor tenaga bagi menolak keprihatinan terhadap pemanasan global. Sekali lagi, tugasan TASSC adalah untuk menyampaikan pandangan yang ‘rasional’, bukti ‘waras’ saintifik bagi menyatakan bahawa bahaya pemanasan glogal hanyalah ilusi orang-orang pro alam sekitar yang kurang siuman.
Dibayar oleh syarikat seperti Exxon Mobil, APCO ditugaskan untuk menyusun sepasukan ‘laskar upahan’ yang berpandangan skeptik terhadap perubahan cuaca dunia dan menentang Perjanjian Kyoto sebagai “kesilapan sains dan teknologi.”
Pada kesemua hal ini, matlamat dan cara APCO tidak ada lain melainkan untung dan lebih besar lagi keuntungan bertimbun.
Kapten perhubungan awam di Malaysia
Pengarah Urusan APCO di Kuala Lumpur ialah Paul Stadlen. Memang benar tugas pertama APCO di Malaysia bukanlah untuk mempromosikan 1-Malaysia.
Paul Stadlen datang ke Malaysia pada tahun 2008, sewaktu berlakunya penangkapan ISA terhadap Teresa Kok, Raja Petra dan wartawan Sin Chew, Tan Hoon Cheng. Dia diambil berkerja untuk membantu strategi komunikasi Kementerian Dalam Negeri bagi menyokong penangkapan ISA, khususnya kepada masyarakat antrabangsa.
Naib Presiden APCO, Larry Snoddon dilantik sebagai CEO Rantau Asia pada Januari 2009. Sebelum bersama APCO pada tahun 2002, Snoddon merupakan CEO untuk Burson-Marsteller, pemain utama perniagaan perhubungan awam di UK.
Burson-Marsteller juga memilki rekod menarik. Seperti APCO juga, Burson-Marsteller pernah dibayar khidmatnya untuk Kementerian Penerangan Nigeria pada hujung tahun 1960 an bagi mengimbangi kutukan antarabangsa terhadap dakwaan pembunuhan etnik dan pelanggaran sistematik terhadap hak asasi manusia yang dilakukan tentera Nigeria.
Dalam perkembangan yang sama, firma ini juga dilantik sejurus selepas Lee Kuan Yew melancarkan operasi ‘Cold Store’ dalam tahun-tahun pembentukan Singapura (yang menyaksikan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari merengkok tanpa bicara dibawah ISA selama 17 tahun). Lee Kuan Yew mendapatkan khidmat Burson-Marsteller bagi membantu Singapura membangunkan program selama 10 tahun untuk menarik pelaburan dari luar negara.
Firma ini juga diambil berkhidmat untuk kerja-kerja perhubungan awam oleh syarikat loji nuklear setelah tragedi kemalangan nuklear di Three Mile Island di A.S pada tahun 1979. Paling terkini, Burson-Marsteller mewakili syarikat khidmat keselamatan Blackwater dalam suatu kes kontroversi. Ia dibayar untuk mempertahankan kakitangan Blackwater yang membunuh 17 orang awam rakyat Iraq, sejurus selepas kejadian tembak-menembak di suatu jalan di Baghdad pada 16 September 2007.
Namun demikian, bos sebenar operasi APCO di Malaysia berpengkalan di Washington DC. Dengan bayaran khidmat RM23 juga, dia mampu untuk terbang ke Kuala Lumpur sebanyak dua kali sebulan.
Orang yang bertanggungjawab sebagai perunding imej Najib ialah Jonathan M Winer, Naib Presiden Kanan APCO di Washington DC.
Sebelumnya, Winer bertugas sebagai Timbalan Pembantu Setiausaha Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa dari tahun 1994 hinggalah 1999. Semasa penggal perkhidmatannya sebagai Timbalan Pembantu Setiausaha Negara, dia dikenali sebagai pakar dalam hal kewangan pengganas.
Dalam politik dalaman A.S, Winer pernah sekali membantu kempen presiden John Kerry. Namun tidak seperti bosnya John Kerry, Jonathan Winer bukanlah kawan baik kepada Anwar Ibrahim. Sebetulnya Jonathan Winer telah membantu Najib berkempen menentang Anwar sebelum mendapat kontrak APCO lagi.
Sejak tahun 2005, kumpulan-kumpulan konservatif A.S mengutip pengakuan kongres Jonathan Winer yang menyifatkan World Assembly of Muslim Youth (Perhimpunan Belia Islam Sedunia - WAMY) sebagai organisasi berkait dengan pengganas.
Dakwaan Winer merupakan cakap kosong tanpa asas. Dia membuat kesimpulan berasaskan pada kejadian tunggal, di mana WAMY telah mengundang pemimpin Hamas Khalid Mishal sebagai tetamu kehormat (VIP) untuk persidangannya di Riyadh yang berlangsung pada bulan Oktober 2002.
Selain menjadi simpatisan penyokong kepada perjuangan Zionis, Winer dalam banyak leadaan melontarkan syak wasangka buruknya terhadap orang Islam dan agama Islam secara umumnya. Dalam pengakuannya kepada Jawatankuasa Senat untuk Hal Ehwal Kerajaan A.S (US Senate Committee on Governmental Affairs) pada 31 Julai 2003, Winer menyifatkan organisasi Ikhwan Muslimin (Muslim Brotherhood) sebagai “kumpulan pengganas”.
Katanya, “Ikhwan berperanan dalam membangunkan organisasi-organisasi militan Islam lainnya. Hal ini dapat ditunjukkan dengan hubungannya terhadap penubuhan kumpulan pengganas Indonesia Jemaah Islamiya (JI), yang dicipta untuk menubuhkan negara Islam di Indonesia. Pelopor yang menubuhkan JI mengakui mendapat inspirasi daripada matlamat jihad Ikhwan sebagai cara untuk menciptakan negara Islam di Asia Tenggara meliputi Malaysia, Indonesia, Singapura dan selatan Filipina."
“JI kemudiannya mendapat dana daripada hartawan kaya Arab Saudi yang bergabung dengan Al-Qaeda. Hasilnya, mekanisme pusat kewangan Ikhwan, Al Taqwa, yang ditubuhkan operasinya di Malaysia terkait dengan JI…kumpulan Al Taqwa…sejak dahulu lagi berperanan sebagai penasihat kewangan kepada Al Qaeda,…menyediakan bantuan langsung kepada Osama bin Laden serta nasihat pelaburan dan mekanisme pemindahan wang tunai untuk Al Qaeda dan kumpulan-kumpulan radikal Islam lainnya.“
Saya beranggapan pandangan di atas sepertimana yang disuarakan Jonathan Winer tidak dapat diterima di kalangan kawan-kawan saya dari Barisan Nasional. Namun demikian, apakah kerajaan Malaysia meminta perunding APCO ini mengubah kepercayaan yang dipegangnya sebelum menandatangani kontrak mahal bernilai RM23 juta itu?
Bolehkah kita mempercayai APCO?
Cara bergerak APCO tidak pernah berubah, ia menyediakan khidmat ‘laskar upahan’ perhubungan awam yang akan menasihatkan rancangan sesiapa sahaja, dan pastinya rancangan untuk pihak yang paling banyak membayar mereka.
Perkara-perkara yang saya timbulkan dalam rencana saya ini, telahpun dimasukkan ke dalam debat membahas Titah Di Raja di Palimen pada 29 Mac 2010. Dalam perdebatan itu, saya merayu kepada BN, juga terhadap rakyat Malaysia untuk melihat isu ini dengan lebih serius lagi.
APCO mungkin menyediakan jalan pintas untuk mengangkat imej kerajaan. Tetapi wajarkah kita percaya kepada ‘laskar upahan’ untuk berkhidmat terhadap kepentingan nasional kita?
Lebih-lebih lagi, jika 1Malaysia seperti yang didakwa kerajaan adalah berkenaan bagaimana rakyat Malaysia berkongsi memenuhi hasrat bersama, kita sebenarnya tidak memerlukan campurtangan asing untuk membentuk masa hadapan negara.
(Tian Chua merupakan Ahli Parlimen Batu dan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat - PKR)
------------------------------------
Liga Super Musim Depan Pasti Suram Jika Kedah FC Turun Liga Dan Sri Pahang
FC Pula Tarik Diri
-
MASA depan dua kelab Liga Super menjadi tanda tanya dengan mereka
dilaporkan tidak akan bertanding dalam saingan tersebut pada musim depan.
Dua kelab yan...
3 days ago
No comments:
Post a Comment