IKLAN BERBAYAR

Wednesday, May 26, 2010

UMNO - DAJJAL MERBAHAYA - SESAT DAN MENYESATKAN

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat berpendapat bahawa bukan hanya Pertubuhan Al-Arqam (Al-Arqam) sahaja yang patut dipantau oleh kerajaan akan tetapi harus melihat kepada Umno juga.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, ini kerana Umno sebuah parti yang pada dasarnya memperjuangkan bangsa melebihi agama dilihat lebih merbahayakan akidah daripada Al-Arqam.

Katanya, kenyataan itu berdasarkan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Dan Pendatang Tanpa Izin kali ketiga di Putrajaya tempoh hari yang meminta agar kerajaan memantau kegiatan bekas pemimpin Al-Arqam bagi memastikan pertubuhan yang diharamkan itu tidak dihidupkan semula.

Menurutnya, Umno yang umumnya diketahui memisahkan agama dan politik atau lebih dikenali dengan istilah ‘sekular’ sentiasa berusaha menjauhkan rakyat Malaysia supaya tidak bersungguh-sungguh mendalami ilmu agama.

Sebaliknya, kata beliau Umno memperbanyakkan hiburan yang melalaikan dan dalam masa yang sama majlis-majlis ilmu yang dianjurkan terikat dalam lingkungan ‘politik sempit’ mereka sahaja.

Baru-baru ini, tambahnya, Kerajaan Malaysia yang mana Umno merupakan parti tunjang di dalam BN telah meluluskan lesen judi bolasepak kepada Berjaya Group yang bukan sahaja untuk pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010.

Katanya lagi, tetapi ia berlanjutan sehingga melibatkan pertaruhan ke atas empat liga utama dunia iaitu England, Itali, Sepanyol dan Jerman melalui Ascot Sport Sdn Bhd juga pemegang saham utama Sport Toto Malaysia Sdn Bhd.

“Bukankah tindakan ini jika dilihat secara teliti boleh memesongkan akidah umat Islam di negara ini?

“Bagaimana dengan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan hukum hudud? Bukankah ianya datang daripada mulut mereka yang mengaku ahli Umno?” soalnya.

Menurutnya lagi, mempertikaikan hukum Allah SWT jelas menyebabkan akidah seseorang tersasar daripada landasan agama yang sebenar.

Bagi Nasrudin, kalau dikatakan konsert khas anjuran Al-Arqam mengundang kontroversi, bagaimana dengan Konsert ‘Pittbull’ yang berlangsung di Bukit Kiara tempoh hari dan bukankah ‘Jom Heboh’ anjuran TV3 juga telah difatwakan haram tetapi mengapa kerajaan masih membenarkan program itu berlangsung.

“Itu belum lagi isu arak, murtad dan berbagai lagi kes yang jelas boleh menjejaskan akidah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Timbalan Perdana Menteri itu agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Katanya, jangan hanya melihat kepada suatu sudut yang sempit demi ‘survival’ politik Umno BN seolah-olah hanya satu pihak lain sahaja yang sesat akan tetapi harus juga melihat dari skop yang lebih besar demi memelihara akidah umat Islam di negara ini.

BARISAN NASIONAL BARUAH GADAI HARTA BENDA NEGARA

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Belum selesai isu judi bola sepak, Datuk Seri Najib Razak telah bersetuju untuk menyerahkan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Singapura kepada syarikat usahasama dan digantikan dengan tanah di kawasan perjudian Singapura iaitu di Marina Bay.

Alasan yang digunakan adalah, tanah ini mungkin akan ditukar ganti dengan tanah yang lebih bernilai dan mudah dimajukan apabila Malaysia dan Singapura menubuhkan sebuah syarikat usaha sama sebelum 31 Disember 2010 ini.

Namun, Marina Bay (gambar) adalah tapak perjudian yang dijangka menjadi resort perjudian yang terbaik di dunia.

Semalam Perdana Menteri Najib telah menandatangani perjanjian itu dalam retreatnya dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Melalui perjanjian itu, Malaysia menyerahkan tanah KTMB itu kepada satu syarikat milik bersama antara Malaysia dan Singapura.

Padahal, sejak sekian lama Malaysia berpendirian, tanah itu adalah milik penuh KTMB kerana ia telah dimiliki syarikat itu sejak Singapura berada dalam Malaysia lagi.

Kedua-dua negara, katanya, bersetuju untuk menubuhkan M-S Pte. Ltd. bagi tujuan membangunkan tanah-tanah milik KTMB di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands dan Bukit Timah di sini.

Najib berkata, Khazanah Nasional Bhd. akan menguasai 60 peratus kepentingan dalam syarikat terbabit manakala baki 40 peratus lagi dimiliki pihak Singapura melalui Temasek Holdings Ltd.

Tanah yang dikatakan bernilai itu adalah di Marina Bay iaitu kawasan yang terletaknya Marina Bay Sands Casino Resort.

"Marina Bay Sands dijangka akan menjadi resort perjudian yang terbaik di dunia," tulis Tom Jones, Staff Editor, CasinoGamblingWeb.com dalam tulisannya 25 April baru-baru ini.

Sementara itu, PAS menyelar tindakan perdana menteri itu yang seolah oleh tidak pernah belajar dari beberapa kesilapan kerajaan berhubung isu penyerahan kawasan dan kedaulatan negara kepada negara luar.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, PAS tetap berpendirian bahawa kesemua tanah KTMB itu adalah hak mutlak Malaysia, dan Singapura tiada hak ke atasnya.

"Kita mempertahan Tanjung Pagar itu dari sudut sejarahnya, faktanya adalah sebahagian hak Malaysia dan tidak boleh dibahagi-bahagi," katanya.

Najib katanya perlu lebih telus dan terbuka menjelaskan kepada rakyat berhubung tujuan di sebalik pemberian 40 peratus kepada Singapura itu.

Ini kerana, rakyat katanya tidak mahu kedaulatan negara terus digadai kepada negara luar seperti apa yang berlaku terhadap dua blok minyak, L dan M yang diserah kepada kerajaan Brunei sehingga merugikan negara.

Malaysia juga jelasnya, telah kecundang dalam menuntut hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih dan isu pangkalan TLDM Woodlands.

"Kita tidak tahu apa yang Najib deal dengan perdana menteri Singapura dan rakyat tidak mendapat penjelasan lanjut, sepatutnya ia diperhalusi.

"Ini bukan soal hak tanah, tapi soal kedaulatan dan maruah negara," katanya lagi.

Katanya lagi, Najib sewajarnya ingat sejarah Umno melepaskan Singapura yang dahulunya sebahagian dari Malaysia di zaman Tunku Abdul Rahman menjadi perdana menteri ekoran kegagalan menangani krisis dalaman dengan Lee Kwan Yew.