Melengkapkan kekejaman hati penguasa ISA
WAJAHNYA tenang, senyuman terukir di bibir setiap masa. Namun, jauh di sudut hati wujud kepiluan yang tidak terluah. Tempoh tujuh tahun, satu tempoh yang cukup menjeruk rasa, apatah lagi sepanjang tempoh itu, tahanan ISA, Mat Sah Satray tidak berpeluang menyantuni ibunya, Saoda Abdul sehingga nafas terakhir.
Tanggal 26 Mei, melengkapkan lagi kekeringan hati polis cawangan khas (SB), apabila kepulangan Mat Sah untuk melawat jenazah ibunya sengaja dilengah-lengahkan dengan pelbagai alasan tidak masuk akal. Beberapa panggilan telefon dibuat ayahnya, Mohd Satray Akri untuk mengetahui lokasi anaknya, namun beberapa kali dimaklumkan sudah 'berada tidak jauh'.
"Sekejap di Rawang, sekejap di Ipoh. Entah mana satu yang betul. Ini, kata pula tersesat...", rungut salah seorang saudara Mat Sah yang kelihatan geram dengan karenah SB.
Debaran hati
Menanti Mat Sah menimbulkan pelbagai debaran di hati setiap yang ada di rumah tersebut. Sehingga jam 3.15 petang, barulah kelihatan Mat Sah tiba dengan diiringi ketat SB. Sedangkan, seawal jam 7.30, pihak kem sudah dimaklumkan tentang kematian ibunya.
Suasana di persekitaran rumah ibunya, penuh dengan suara-suara kesalan daripada pihak saudara-mara kerana ternanti-nanti kedatangan Mat Sah. Biarpun Mat Sah sudah memaklumkan kepada isterinya, Norlaila Othman -ketika pulang ziarah sewaktu ibunya terlantar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) supaya tidak menunggunya, namun pihak keluarga tetap bersabar, menanti kedatangannya bagi menemui jenazah ibunya kali terakhir.
Kedatangan Mat Sah sambil diiringi ketat beberapa SB, menimbulkan suasana pilu di ruang rumah ibu bapanya, di Kampung Pandan. Menanti berjam-jam ketibaan Mat Sah, beliau diberi masa tidak sampai lima minit sebelum ditarik SB ke kereta untuk menuju ke Tanah Perkuburan Islam Segambut. Malah, ketika Mat Sah berteleku di sisi jenazah ibunya di ruang rumah yang kecil, SB turut memenuhi ruang itu bagi mengawal ketat beliau.
Setiba kami di tanah perkuburan, van bercermin gelap yang membawa Mat Sah, diiringi dua kereta Proton Wira, sudah tersedia menanti. Namun, bayang Mat Sah tidak kelihatan. Sehingga jenazah dibawa ke kubur, barulah Mat Sah dibenarkan keluar menuju kuburan bondanya. Begitu sekali SB bimbang jika membiarkan Mat Sah keluar dari van. Bagaikan seorang penjenayah-bimbang beliau melarikan diri.
Tika talkin dibaca
Berpeluang menyempurnakan jenazah ibunya ke liang lahad, Mat Sah kelihatan tenang. Namun, ketika talkin dibacakan, kesayuan jelas tergambar di wajahnya. Sesekali kelihatan beliau mengesat air mata yang bertubir di sudut mata.
"Dia memang macam ini. Kalau benda-benda begini, dia memang cepat terasa. Mesti dia menangis," ujar Norlaila kepada saya, yang berdiri di belakang Mat Sah, memandang jenazah ibu mertua selain asyik memerhati suami yang terpisah sekian lama angkara ISA.
Selesai menyiram air mawar, Mat Sah segera dihampiri SB untuk dibawa pergi. Namun, ada suara-suara yang meminta supaya Mat Sah dibenarkan bertemu dengan saudara-mara. Kesayuan menyelubungi tanah perkuburan tersebut. Selain sayu meninggalkan ibu untuk selamanya, peluang bertemu saudara-mara dan sahabat handai sejak tujuh tahun lalu turut menambahkan lagi kesayuan.
ImageMalah, Mat Sah sesekali tertunduk apabila bertanya khabar anak-anak saudara yang kini masing-masing sudah bekerja dan berumahtangga, sedangkan beliau tidak berpeluang mengikuti perkembangan saudara-maranya selama ini.
Peluk erat
"Tak larat abah..." Terdengar nada suara Mat Sah yang sayu ketika memeluk erat putera tunggalnya, Suhaib yang ditinggalkan sejak berusia lapan tahun. Masakan tidak, Suhaib kini sudah membesar malah lebih besar dari abahnya.
Seketika, segera SB menarik tangan Mat Sah untuk dibawa ke van semula, dan dibawa entah ke mana. Sempat Norlaila bertanya destinasi suaminya, namun SB hanya mendiamkan diri. Malah, permintaan keluarga agar Mat Sah diberi peluang menghadiri tahlil pada malam itu, turut tidak mendapat 'restu' SB.
Benarlah, episod luka yang ditinggalkan SB kepada Mat Sah melengkapkan lagi kekejaman hati penguasa ISA. Jika sebelum ini, kematian Aina Mardhiah, 17 tahun menyentap hati semua pihak dengan sikap SB yang melengah-lengahkan kepulangan ayahnya, Shahrial Sirin, kini keluarga Mat Sah mengalami episod serupa.
Entah mengapa, masih ada pihak yang menyatakan perlunya ada ISA. Sedangkan akta yang membenarkan penahanan tanpa bicara ini sudah terlalu banyak melakarkan episod kejahatan terhadap sesama manusia. Mungkinkah apabila terdapat ahli keluarga atau kenalan mereka yang diheret ke ISA, barulah kesedaran untuk menghapuskan akta ini timbul?
Liga Super Musim Depan Pasti Suram Jika Kedah FC Turun Liga Dan Sri Pahang
FC Pula Tarik Diri
-
MASA depan dua kelab Liga Super menjadi tanda tanya dengan mereka
dilaporkan tidak akan bertanding dalam saingan tersebut pada musim depan.
Dua kelab yan...
3 days ago
No comments:
Post a Comment